Anak derhaka. Ungkapan itu begitu dibimbangi dan ditakuti kebanyakan masyarakat. Ia umpama ‘sumpahan’ yang boleh membuatkan hidup kita porak-peranda.
Tidak hairanlah jika tiada siapa yang mahu dirinya digelar sebagai anak derhaka ataupun si Tanggang.
Justeru, penting untuk kita pastikan apa jua perkara yang dilakukan mestilah mendapat reda dan restu kedua-dua orang tua masing-masing. Merekalah insan yang paling banyak berjasa daripada ketika mengandung, melahirkan dan membesarkan kita.
Betapa perit dan jerih perlu dilalui oleh orang tua kita semata-mata demi melihat zuriat mereka menjadi insan berguna, bukan sebagai anak derhaka.
Tambahan pula, untuk menggapai keredaan Allah SWT, seorang anak perlu mendapatkan restu dan reda ibu bapa masing-masing.
Begitupun, andai ibu bapa ada melakukan kesilapan, bagaimanakah cara terbaik bagi seorang anak memperbetulkan kekhilafan ibu bapa masing-masing? Adakah mereka dikira derhaka apabila menegur orang tua?
Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayyub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, wajib menegur ibu bapa andai mereka ada melakukan kesilapan.
Jangan biadab
Pada masa sama, katanya, terdapat adab yang perlu dipenuhi sebagaimana yang diajar dalam agama Islam.
“Teguran yang dibuat itu jangan sesekali menggunakan bahasa yang kesat dan tidak menegur mereka di khalayak ramai dengan membuka aib orang tua kita.
“Seperkara lagi, biarlah nasihat yang diberikan kepada ibu bapa tadi tidak mengguriskan hati mereka. Paling penting, tegur mereka apabila kita bersama emak atau ayah kita sahaja.
“Pendek kata, seorang anak perlu menggunakan perkataan dan ungkapan yang elok serta tidak menghiris hati mereka. Jagalah hati insan yang paling banyak berjasa dalam hidup kita. Itulah ketentuan Allah SWT dalam alam ini,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosiaI FB miliknya baru-baru ini.
Menyambung hujahnya, agamawan itu kemudian mengingatkan seluruh umat Islam dengan kalam Allah yang memerintahkan supaya kita berbuat baik kepada ibu bapa.
Firman Allah SWT: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain-NYA dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak merela, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka.” (Surah al-Isra’, ayat 23)
Keberkatan hidup
Berdasarkan ayat itu, ujar Ustaz Wadi Annuar, Allah SWT menentukan dan mematerikan perintah supaya kita menyantuni ibu bapa dan tidak boleh mengeluh, apatah lagi menarik muka.
Tidak kiralah siapa pun orang tua kita waima dia seorang kaki botol mahupun pelacur, sebagai anak, kita tidak boleh menjerkah mereka dengan kata-kata kesat, ungkapnya.
“Apalagi menghina mereka dengan ungkapan yang menjelikkan. Ketahuilah, berdosa besar jika kita mengangkat suara yang tinggi di hadapan ibu ayah kita walaupun kedua-dua orang kita merupakan pelaku maksiat.
“Ingatlah, ketetapan Allah SWT itu tidak akan berubah buat selama-lamanya. Perintah itu bukan sahaja kekal sampai kiamat, tetapi selagi mana wujudnya syurga ataupun neraka, wujudnya seluruh alam ini sampai bila-bila.
“Kita tiada pilihan kerana itulah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya, ia mempunyai rahsia yang sangat besar. Ini kerana keberkatan hidup yang sangat luar biasa menanti buat anak-anak yang mentaati ataupun menuruti apa yang diajarkan oleh Allah SWT dalam berbakti kepada ibu dan ayah,” jelas beliau.
Sementara itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi video yang dikongsikan di Instagram jom_kuliah menjelaskan, seorang anak tidak dikira menderhaka sekiranya mereka hanya menunaikan peritah Allah SWT.
“Derhaka itu hanya berlaku apabila anak tersebut menasihati ibu bapanya dengan cara biadab ketika menegur mereka,” katanya.
Sebagai hamba Allah SWT, jalankanlah tanggungjawab kita dengan sebaiknya. Tiada masalah kita menegur dan memberi nasihat kepada orang tua masing-masing asalkan bertepatan dengan ajaran Islam.
Siapa tahu bimbingan kita tadi dapat menarik mereka kembali ke jalan yang diredai oleh Allah SWT.
Sumber Sinar Islam
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.